Wednesday, 11 May 2011

PERKEMBANGAN TAMADUN ISLAM


ZAMAN RASULULLAH S.A.W

Zaman ini merupakan zaman penanaman benih tamadun Islam di mana buah dan hasilnya dapat dinikmati oleh umat Islam terkemudian. Rasulullah s.a.w telah diutuskan oleh Allah untuk membawa manusia ke jalan yang benar, yang dapat menjamin kebahagian hidup manusia di dunia dan akhirat. Tamadun yang dibina adalah berasaskan wahyu yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepadanya selama 23 tahun yang dapat dibahagikan kepada dua zaman iaitu Zaman Makki (Mekah) selama 13 tahun dan Zaman Madani (Madinah) selama 10 tahun. Sesungguhnya kedua-dua zaman inilah yang merupakan detik awalan dan penentuan kepada kegemilangan dan kecemerlangan tamadun Islam.

ZAMAN MAKKI

Menurut Syed Qutb, persoalan utama yang dibawa oleh Rasulullah di Mekah ialah persoalan akidah. Persoalan ini memang tidak mudah diterapkan kedalam hati orang-orang Arab,namun ia tetap dititikberatkan oleh Rasulullah s.a.w walaupun baginda sedar akan dugaan dan cubaan yang bakal dihadapi kelak.

Menurut beliau lagi,persoalan akidah merupakan agenda al-Quran yang sebenar, meskipun pada masa orang-orang Arab menghadapi Empayar Rom dan Parsi tetapi Rasulullah tidak menyeru mereka kearah perjuangan nasionalisma Arab, kerana perjuangan nasionalisme hanya menukar dari perhambaan kepada Rom dan Parsi menjadi pengabdian kepada bangsa Arab.

Walaupun bangsa Arab ketika itu menghadapi kebejatan sosial yang gawat, namun Rasulullah tidak menjadikan perjuangan untuk meningkatkan moral sebagai tujuan utamanya, sebab moral yang baik tidak dapat ditegakkan melainkan diatas akidah yang murni lagi kukuh.

Berkait rapat dengan persoalan akidah ini ialah ajaran Islam tentang adanya Hari Akhirat (Qiamat). Bagi sebahagian masyarakat ketika itu, yang ada hanya kehidupan dunia sahaja, dengan matinya manusia bermakna tamatlah segala-galanya.Penolakan ini adalah disebabkan oleh ketakutan mereka tentang adanya Hari Akhirat yang kelak akan menghitung segala perlakuan mereka di dunia.

Dari segi sosial pula, masyarakat Arab mengamalkan sistem  kasta di samping merendahkan darjat kaum wanita. Kelas tertinggi adalah terdiri dari golongan aristokrat Quraisy sahaja, dengan keistimewaan dan kuasa yang tidak terbatas. Sedangkan kaum hamba abdi bukan sahaja dinafikan haknya bahkan mereka boleh dijual beli sesuka hati. Namun, berkat ajaran Islam, semua golongan proletar itu dibanteras oleh Nabi Muhamad saw dengan dibantu oleh sahabat-sahabat baginda yang terdiri dari hartawan-hartawan Islam. Mereka menyatakan bahawa tindakan membebaskan hamba abdi adalah sebaik-baik kebajikan. 

Selain dari itu, ajaran-ajaran di Mekah juga menekankan kisah-kisah perjuangan nabi-nabi terdahulu untuk menjadi teladan bagi umat-umat selepasnya. Dalam hal ini Allah menjelaskan dalam al-Quran :
Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka terdapat pengajaran bagi orang-orang yang berakal.                                                        (Surah Yusuf : 111)



Maka ceritakanlah kepada mereka kisah-kisah itu agar mereka berfikir.”
                                                                                        (Surah Al-A’raf : 176)

Ini menunjukkan betapa pentingnya mengkaji dan memahami sejarah dalam Islam dan terbukti jelas bahawa sepertiga daripada kandungan al-Quran adalah membicarakan tentang sejarah.

Walaupun persoalan moral bukanlah matlamat utama perjuangan Rasulullah di Mekah, tetapi perkara itu tidak diabaikan sama sekali. Ini sesuai dengan sabda Baginda Rasulullah yang bermaksud :

 Tidaklah aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

 Maka kegiatan dakwah Nabi s.a.w banyak menekankan usaha-usaha pembentukan peribadi Muslim, meninggalkan segala sifat mazmumah yang tercela dan digantikan dengan akhlak mahmudah. Usaha-usaha pembentukan peribadi ini penting sebagai persediaan bagi menghadapi segala cabaran yang bakal mendatang.

ZAMAN MADANI

Zaman ini sinonim dengan peristiwa Hijrah. Pengertian Hijrah dari segi bahasa ialah:  Pindah dari satu tempat ketempat yang lain. Dari segi istilahnya yang digunapakai oleh Prof. Syed Naquib al-Atas : Meninggalkan adat resam atau kebiasaan yang karut dan mungkar.

Peristiwa Hijrah ini amat penting dalam tamadun Islam, sehingga Saidina Umar al-Khattab meletakkannya sebagai tarikh permulaan takwim (kalender) Islam. Ini berbeza dengan amalan agama lain yang biasanya memulakan tarikhnya berdasarkan tarikh kelahiran penganjur berkenaan, yakni semacam pendewaan kepada peribadi berkenaan. Tetapi Umar Al-Khattab tidak berbuat demikian kerana ia bukan merupakan tarikh peribadi, tetapi tarikh perjuangan kearah kebenaran (haq) untuk menjadi petunjuk seluruh umat manusia.                                                                            

Dari segi perjuangan Islam, peristiwa Hijrah memang memberi kesan yang amat mendalam kepada umat Islam kerana walaupun Rasulullah merupakan seorang Rasul yang Agung, tetapi peristiwa Hijrah memaparkan kepada kita bahawa Rasulullah juga menghadapi kesukaran, dugaan dan cabaran yang tidak kurang hebatnya, walaupun hakikatnya baginda layak memohon pada Allah agar dimudahkan segalanya. Ini memberi petunjuk bahawa dalam menghadapi dakwah menegakkan agama Allah dimuka bumi, bukanlah suatu perkara  yang  mudah. Dalam  liku-liku  perjalanan  Rasulullah  dalam

usaha dakwahnya, Rasulullah menghadapi berbagai kesulitan, namun demi untuk menentang segala kebatilan dan kekufuran, segalanya dihadapi.

Sebenarnya  kepentingan Hijrah itu menjadi semakin penting setelah kita melihat implikasi peristiwa Hijrah. Apabila Hijrah berlaku, maka terbentuklah suatu Ummah atau Jamaah baik dalam bentuk masyarakat atau negara yang berbentuk masyarakat yang mempunyai keperibadian sendiri. Jemaah ini beasaskan akidah dengan kepatuhan yang mutlak kepada Allah s.w.t yang mana perkataan Madinah itu sendiri berasal dari perkataan Deen iaitu sebuah kota/bandar di mana sesuatu ummah tertakluk kepada suatu penguasa atau pemerintah yang adil dan benar serta dapat menyelamatkan umat  Islam didunia dan akhirat.

Dengan timbulnya suatu umat di Madinah maka terdirilah sebuah negara dengan sistem pemerintahan yang berteraskan Islam. Sebuah negara Islam di mana syiar Islam benar-benar mempunyai kekuatan hukum di dalamnya, bukan  negara berfaham kedaerahan terbatas yang menyempitkan dirinya dengan fahaman kaum keturunan, atau warna kulit.

Tuesday, 10 May 2011

Matlamat Tamadun Islam

Secara umumya matlamat utama tamadun Islam ialah untuk memartabatkan Islam sebagai Ad-Deen iaitu satu cara hidup yang lengkap dan komprehensif. Manakala matlamat khusus tamadun Islam pula adalah untuk menjalinkan hubungan berikut:


1) HUBUNGAN MANUSIA DENGAN ALLAH S.W.T   
    (HABLUMMINALLAH)

Manusia dapat mengenal Allah s.w.t melalui rukun iman yang enam dan berhubung dengan-Nya melalui rukun Islam yang lima. Keimanan mempunyai unsur kekuatan yang mencukupi untuk membangun individu dan masyarakat supaya menjadi umat yang berjiwa besar.

Lihatlah masyarakat Arab Jahiliah yang dahulunya buta huruf dan hidup dalam keadaan mundur tiba-tiba muncul sebagai satu bangsa penakluk, pemerintah dan tamadun yang agung setelah mereka beriman.

Pelaksanaan rukun Islam yang lima mempengaruhi diri individu muslim untuk mengiktiraf secara sukarela tentang kewujudan dan keesaan Allah s.w.t itu sendiri. Keupayaan seseorang melaksanakan rukun Islam yang lima membuktikan ketinggian iman dan berjaya membentuk peribadi muslim yang warak dan tawaduk.

Oleh itu, perhubungan dengan Allah s.w.t adalah yang paling unggul, bahagia dan suci murni. Di samping itu, hubungan dengan Allah ada implikasinya tersendiri:

·         Pengiktirafan terhadap pencipta
·         Pengiktirafan terhadap keagungan pemerintahan-Nya dan kebesaran kekuasaan-Nya
·         Pengiktirafan terhadap nikmat-nikmat Allah
·         Menyedari dan mengharapkan rahmat Allah
·         Penumpuan kepada Allah melalui permohonan dan doa
·         Cinta dan rindukan Allah sebagai matlamat


2) HUBUNGAN MANUSIA DENGAN MANUSIA
    (HABLUMMINANNAS)

Manusia dijadikan oleh Allah s.w.t daripada asal keturunan yang satu iaitu daripada Adam a.s. bersama pasangan hidupnya Siti Hawa. Maka daripada kedua-duanya lahir manusia dan terus membiak memenuhi alam sehingga hari ini. Tiap-tiap manusia wajib menganggap manusia yang lain tidak kira bangsa, tempat dan warna kulit adalah mempunyai hak yang sama daripada segi kemanusiaan dan kebebasan. Firman Allah s.w.t  dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dan seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa dan bersuku-suku
supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”                                                                               (Al-Hujarat : 13)

Hubungan dan tatacara pergaulan dengan sesama manusia hendaklah berasaskan persaudaraan seagama, berbeza agama dan kemanusiaan secara amnya. Kesempurnaan masyarakat hanya dapat diwujudkan dengan adanya kerjasama, tolong-menolong dan perpaduan dengan cara penyelarasan undang-undang yang menentukan hak setiap masyarakat tidak dicerobohi. Kepentingan orang ramai hendaklah diutamakan daripada kepentingan diri sendiri.


3) HUBUNGAN MANUSIA DENGAN ALAM

Allah s.w.t menciptakan seluruh alam ini untuk keperluan manusia. Alam yang penuh dengan hidup-hidupan, tumbuh-tumbuhan, udara yang nyaman, air yang bersih, cahaya yang menyegarkan serta dijadikan siang dan malam silih berganti adalah untuk dimanfaatkan oleh manusia. Hal ini bukanlah bererti manusia bebas menggunakan nikmat ini dengan sesuka hatinya, sebaliknya ia adalah satu amanah untuk ditadbir secara terancang ke arah mengabdikan diri kepada Allah untuk mencari keredhaan-Nya. Di tangan manusia terletaknya kemakmuran alam dan segala penghuninya. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran yang bermaksud:

Dan dialah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi ini untuk kamu  semua.”                                                                 (Al-Baqarah : 29)

Sumber Tamadun Islam

 1) Sumber Asas

Al-Quran merupakan sumber asas tamadun Islam dan diikuti oleh As-Sunnah sebagai sumber asas yang kedua. Al-Quran mengandungi prinsip-prinsip asas kemudian diperjelaskan dan diperincikan oleh As-Sunnah. Kedua-dua ini merupakan sumber inspirasi umat Islam untuk membentuk, membangun dan mengembangkan tamadun Islam.



a)  Al-Quran

Al-Quran bermaksud kalam Allah (perkataan Allah) yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w secara mutawatir selama 23 tahun untuk disampaikan kepada seluruh manusia. Ia merupakan mukjizat kepada baginda yang berkekalan sepanjang hayat.

Al-Quran sebagai kitab yang tidak mengandungi keraguan yang menjadi pedoman dan petunjuk bukan sahaja kepada orang Islam tetapi kepada seluruh manusia dan membacanya adalah satu ibadah.

H.Zainuddin dan Fachruddin menyatakan kitab suci Al-Quran berisi ilmu, hikmah dan petunjuk berkenaan dengan kepercayaan, peribadatan, kemasyarakatan, pemerintahan, hukum, cerita kehidupan  manusia yang mendapat pendidikan dan bimbingan daripada Al-Quran atau wahyu akan mendapat satu kekuatan yang luar biasa dan akan dapat menghasilkan kemajuan atau tamadun Islam yang gemilang.

b)  As-Sunnah


As-Sunnah juga dinamakan Al-Hadith. Dari segi bahasa bererti perjalanan samada perjalanan baik atau buruk. Dari segi istilah, As-Sunnah bererti sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sama ada dari segi perkataan, perbuatan atau pengakuan (persetujuan), sifat-sifat kejadian, akhlak dan sirahnya sebelum dan sesudah baginda dilantik menjadi rasul.

Contoh sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud:

a)      “Bersolatlah kamu sebagaimana kamu lihat aku solat.”
b)      “Tidak dipotong tangan seseorang pencuri itu melainkan apabila dia
        mencuri lebih dari seperempat dinar dan tangan yang dipotong hingga
       pergelangannya."
c)      “Tidaklah aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”


2) Sumber Tambahan


a)      Akal pemikiran manusia

Akal adalah khazanah potensi manusia yang cukup besar yang hanya dianugerahkan oleh Allah kepada manusia dan tidak kepada makhluk lain. Manusia boleh membangun dan bergerak maju dengan menggunakan akal untuk melahirkan sesuatu tamadun. Umat Islam dikehendaki menggunakan

akal fikiran mereka dengan panduan dan petunjuk daripada Al-Quran dan AS-Sunnah. Dalam hal ini, pemikiran manusia hendaklah berteraskan ilmu yang didasari ketauhidan kepada Allah s.w.t untuk menghindarkan daripada penyalahgunaan hasil ciptaan yang boleh menghancurkan peradaban manusia. Antara contoh kemajuan tamadun melalui perkembangan intelek ialah pembuatan alat penyaman udara. Ia bermula dengan bentuk kipas ringkas yang menggunakan daun, kulit kayu, kertas dan kain dan kemudian dicipta kipas yang menggunakan kuasa asli seperti angin dan air. Kemudian barulah menggunakan kuasa elektrik dengan bentuk dan teknik yang lebih canggih dan berkualiti.

b)     Pengalaman

Pengalaman adalah guru yang terbaik. Segala pengalaman yang baik dan mendatangkan kebaikan kepada manusia boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Pengalaman baik akan menjadi adat dan norma sesuatu masyarakat dan bangsa.

c)      Tamadun-tamadun lain

Kemajuan Islam tidak terhad kepada kemajuan yang dicipta oleh orang Islam sahaja. Islam membenarkan sebarang asas pencapaian tamadun lain untuk membantu mengukuhkan lagi tamadun Islam dengan syarat tidak bercanggah  atau bertentangan dari aspek aqidah, akhlak dan syariah Islam.

Kubah masjid dipercayai berasal dari senibina Graeco-Roman dan demikian juga dengan sistem diwan (jabatan) yang telah diperkenalkan oleh Saidina Umar Al-Khattab di dalam pentadbirannya sebenarnya berasal dari sistem pentadbiran Parsi. Cendekiawan-cendekiawan Islam pada peringkat awal telah berusaha menterjemah buku-buku tamadun lain (Iskandariah, Greek, Yunani, Parsi dan India) dalam bidang-bidang seperti perubatan, astronomi dan matematik untuk dikaji dan dimajukan lagi. Hasil kajian terhadap tamadun itu telah membuka minda mereka mencipta teori-teori, prinsip-prinsip, alat-alat, teknik-teknik dan karya-karya yang tenyata lebih baik daripada tamadun-tamadun lampau tersebut.

  

Bab 1-Pengenalan Tamadun Islam

Kelahiran tamadun Islam boleh dianggap satu keganjilan dalam sejarah hidup manusia kerana ia lahir di kalangan penduduk padang pasir yang tidak begitu diketahui oleh penduduk dunia pada ketika itu.

PENGERTIAN TAMADUN

Menurut Kamus Dewan : Tamadun boleh diertikan sebagai kebudayaan, kemajuan, peradaban sesuatu bangsa yang bertamadun.

Dalam konteks Islam, ia boleh dilihat dari segi pembinaan akhlak dan tatasusila manusia yang baik serta beradab sesama manusia dan pencipta-Nya.

PENGERTIAN TAMADUN DALAM BAHASA LAIN


1.      Bahasa Arab : Kata dasarnya ialah tamaddana atau madana yang bererti:

  • Suatu lokasi sebagai tempat tinggal
  • Membangun sesuatu kawasan hingga menjadi suatu perbandaran
  • Fenomena dari perubahan cara hidup daripada liar atau nomad kepada  kehidupan yang berbentuk maju (Kamus Al-Munjid)
  • Kehalusan adat (Kamus Idris Marbawi)

2.      Bahasa Inggeris : Civilization yang membawa maksud:

  • The process of civilizing or become civilized (Noah Webster)
  • An advanced stage of human social development with a high level of art, religion, science, government and written language (Longman dictionary of contemporary English)
  • Civilize – memperbaiki tingkah laku iaitu keluar dari kehidupan yang kasar kepada kehidupan yang lebih baik yang mempunyai kehalusan akal budi dan kesopanan

3. Bahasa Tamil : Nakar ikam - nakar ialah kota dan ikam pula ialah pembentukan bandar


  1. Bahasa Cina : Wen ming  yang bererti cerah atau bercahaya yang mana merujuk kepada unsur-unsur material dan spiritual yang muncul daripada pencapaian sejarah perkembangan manusia

 ISTILAH LAIN YANG SAMA MAKSUD DENGAN TAMADUN

a)                  Hadarah
  • Satu cara hidup bagi sekumpulan manusia yang menetap di suatu lokasi tertentu (bandar).
  • Ibnu Khaldun mendefinasikannya sebagai sekumpulan manusia yang tinggal kekal di suatu tempat atau kota atau wilayah atau tanah pertanian.

b)         Thaqafah
  • Merupakan cara hidup serta segala hasil kegiatan dan penciptaan yang berupa kebendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat, tamadun, peradaban, kemajuan akal budi dan sebagainya.

c)         Umran
  • Membangun bangunan, kilang dan gedung .